Monday, October 26, 2009

Format transformasi pentaksiran dalam AdaP

Sumber : http://www.tutor.com.my/tutor/

LIMA elemen pelaporan yang patuh kepada pentaksiran futuristik yang sedang dicuba di 500 buah sekolah mulai tahun ini, menjadi teras isi kandungan Akhbar Dalam Pembelajaran 2009 (ADaP).

Lima elemen pelaporan itu sejajar pula dengan lima kaedah pentaksiran yang wajib dilalui oleh setiap pelajar untuk mendapat sijil yang diperakui Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Pembaharuan itu sejajar dengan Transformasi Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan yang sedang dirintis di 500 buah sekolah tahun ini, dan mula dilaksanakan dalam sistem pendidikan mulai 2010.

Pentaksiran dan pelaporan berkenaan merangkumi kehendak Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Berasaskan Pusat (PBP) - dua elemen yan bergerak seiringan dalam menilai seseorang pelajar di bawah transformasi berkenaan.

Perubahan yang berlaku ekoran transformasi itu mencakupi perkara yang ditaksir, kaedah mentaksir, siapa pentaksir dan apa yang dilapor.

Hal ini selaras dengan keputusan Kementerian Pelajaran berhubung transformasi pendidikan yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Menengah (KBSM), Pembestarian Sekolah dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP).

________________________

Secara keseluruhannya, transformasi itu merangkumi tiga elemen utama iaitu:

1. Empat konstruk yang ditaksir

2. Lima kaedah pentaksiran yang digunakan

3. Lima aspek perkembangan murid yang dilaporkan

.

KONSTRUK

Empat konstruk yang ditaksir ialah profil, pencapaian, perkembangan dan penyertaan.

Profil: Ciri psikologi seperti jenis kecerdasan, bakat, minat, aptitud, kebolehan am, kecenderungan, personaliti dan kesediaan untuk belajar.

Melalui profil, pendidik boleh mengenali dan memahami minat murid ke atas sesuatu perkara, atau tajuk perbincangan yang menarik perhatian mereka, kebolehan semulajadi dan cara belajar yang paling berkesan.

Pencapaian: Aspek ini merupakan penguasaan, kejayaan atau kemenjadian sesuatu aspek (pengetahuan atau kebolehan) yang ditanamkan atau dibangunkan dalam diri murid.

Pencapaian merangkumi pencapaian akademik, bukan akademik dan bidang vokasional.

Tahap pencapaian akan menjadi rujukan dalam proses pensijilan atau proses pembelajaran.

pencapaian boleh ditunjukkan melalui hasil kaedah pentaksiran yang menggambarkan peringkat prestasi seperti ujian, peperiksaan atau pertandingan.

Perkembangan: Aspek ini merupakan pergerakan atau perubahan murid daripada keadaan kurang atau belum menguasai (mencapai) kepada lebih menguasai dan akhirnya telah berjaya.

Perkembangan murid boleh dilihat melalui pentaksiran yang dikendalikan oleh pihak sekolah sendiri.

Penyertaan: Aspek ini menunjukkan adanya sumbangan berbentuk pengetahuan, kemahiran atau tenaga serta perkongsian minat dan emosi terhadap aktiviti.

Berbeza dengan pencapaian, penyertaan tidak semestinya dibuktikan dengan penerimaan trofi atau anugerah.

.

KAEDAH PENTAKSIRAN

Terdapat lima kaedah pentaksiran yang akan digunakan untuk mengumpul data atau maklumat tentang murid, seperti berikut:

1. Pentaksiran Sekolah

2. Pentaksiran Pusat

3. Peperiksaan Pusat

4. Pentaksiran Aktiviti Jasmani dan Kokurikulum

5. Pentaksiran Psikomterik

Rangkaian lima kaedah pentaksiran itu bertujuan mengelakkan kebergantungan hanya kepada data peperiksaan berpusat untuk menilai murid.

.

APAKAH YANG DILAPORKAN

Lima aspek perkembangan murid akan menjadi tumpuan pelaporan pentaksiran iaitu:

1. Potensi

2. Akademik

3. Sosial

4. Sahsiah

5. Kebudayaan

Potensi: Mereka yang berpotensi berkembang maju dianggap berketrampilan.

Dalam hal ini mereka mempunyai kemampuan, kebolehan, kekuatan dan keupayaan untuk berkembang maju dalam aspek atau bidang tertentu.

Akademik: Amalan selama ini dalam mengukur pencapaian murid dalam akademik akan diteruskan.

Di samping pencapaian, prestasi murid dalam proses pembinaan aspek ini juga akan diambil kira, bukan hanya pencapaian mereka pada akhir program yang akan diambil kira, malahan keseluruhan proses daripada permulaan sehingga ke akhirnya.

Sosial: Sosial ialah segala yang berkaitan dengan masyarakat; berkaitan dengan persahabatan, pergaulan, dan aktiviti masa lapang.

Sahsiah: Sahsiah merupakan keperibadian iaitu sifat-sifat yang merupakan kelakuan atau sikap yang menggambarkan manusia sebagai diri sendiri. Sahsiah juga dikenali sebagai watak. Dalam hal ini, perkara yang diberi tumpuan yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) adalah:

- Berakhlak mulia

- Bertanggungjawab

- Seimbang dan harmonis dari segi JERI

- Percaya dan patuh kepada Tuhan

.

KEBUDAYAAN

Budaya bermaksud tamadun atau kehalusan budi bahasa dan bersopan tingkah laku, peradaban, kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir dan berkelakuan).

Dalam konteks ini, budaya meliputi gaya hidup, tingkah laku, kebiasaan dan peradaban dalam semua aktiviti harian yang membawa kepada kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara

No comments:

Post a Comment