Friday, October 16, 2009

SPPK dan Transformasi Kurikulum Kebangsaan

Dipetik dari artikel ; MEMBANGUN MODAL INSAN

Oleh :

Tn. Hj. Ali bin Ab. Ghani (A.M.N.)
Pengarah
Bahagian Perkembangan Kurikulum
Kementerian Pelajaran Malaysia

(2008)

KBSR dan KBSM menuntut pembangunan menyeluruh potensi murid dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Namun, penekanan kepada peperiksaan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menjurus kepada menyediakan murid untuk boleh menjawab soalan peperiksaan sahaja. Malah, sistem pentaksiran murid sedia ada juga lebih mengarah kepada pentaksiran aspek intelek sahaja tanpa memberi banyak tumpuan kepada penilaian pertumbuhan dan perkembangan potensi-potensi lain. Ke arah itu, pihak  Lembaga Peperiksaan Malaysia telah mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan amalan sistem pentaksiran yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Beberapa usaha penambahbaikan sedang dan telah dilakukan bagi memperbaiki kelemahan sedia ada. Antaranya ialah pelaksanaan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang dilihat mampu memberikan satu bentuk pentaksiran menyeluruh potensi murid dengan penekanan yang hampir sama bagi aspek potensi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Ini dilaksanakan melalui penggabungan hasil pentaksiran berasaskan sekolah (pentaksiran sekolah) dengan pentaksiran dan peperiksaan pusat. Strategi ini turut ditambah melalui pengenalan secara meluas penggunaan ujian psikometrik dalam pengumpulan data dan maklumat tentang perkembangan dan pertumbuhan murid. Selain itu, konsep pentaksiran murid diperluaskan juga skopnya bagi merangkumi aspek penglibatan murid dalam kegiatan kokurikulum dan aspek lain berkaitan domain keinsanan dan sahsiah murid. Maka, ini menuntut pengupayaan sekolah dan guru dalam melaksanakan proses pentaksiran pendidikan murid mereka sendiri di sekolah.

 

KONSEP SPPK

Pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia(LPM) mengetengahkan konsep PADI – akronim untuk Profile, Achievement, Development dan Involvement dalam membangunkan SPPK. Berdasarkan konsep ”PADI” ini, dimensi pertama yang perlu diberi perhatian dalam proses pentaksiran murid ialah membentuk profil psikometrik murid tersebut. Ini merangkumi data berkenaan kecenderongan, aptitud dan minat murid. Dimensi kedua pula menyentuh aspek Achievement atau pencapaian dan Development atau perkembangan murid manakala dimensi ketiga memberi penegasana kepada aspek Involvement atau penglibatan murid melalui aktiviti jasmani dan kokurikulum. Jelas, konsep ini mengutamakan pentaksiran perkembangan individu murid secara menyeluruh.

Model pemantauan pertumbuhan individu murid dapat dijelmakan melalui Rajah 2 seperti di bawah:

clip_image002

 

LIMA SERANGKAI

Sistem Pentaksiran Persekolahan Kebangsaan mencadangkan lima bentuk pentaksiran untuk melaksanakan konsep PADI yang dinyatakan. Lima bentuk pentaksiran ini boleh digambarkan melalui Rajah 3 seperti di bawah:

clip_image004

 

1. Pentaksiran sekolah

Pentaksiran sekolah merupakan pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa dan dilaporkan oleh guru di sekolah yang melibatkan murid, ibu bapa dan organisasi luar. Pentaksiran sekolah boleh dilaksanakan dalam bentuk pentaksiran formatif yang dilaksanakan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran atau pentaksiran sumatif di akhir tahun.

2. Pentaksiran Pusat

Pentaksiran pusat merupakan suatu pentaksiran yang mempunyai piawai (standard prestasi), panduan dan peraturan, instrumen pentaksiran dan kaedah menganalisis data yang disediakan oleh agensi pusat (LPM). Pihak sekolah bertanggungjawab mentadbir, memeriksa respons murid dan menyediakan pelaporan. Pentaksiran ini dilaksanakan secara pentaksiran sumatif berdasarkan jadual yang ditetapkan oleh LPM. Markah yang diperolehi akan dihantar ke LPM untuk dianalisis dan dimederatkan sebelum ianya dihantar semula ke sekolah untuk pelaporan penguasaan sekolah.

3. Peperiksaan Pusat

Konsep pelaksanaan peperiksaan seperti sistem sedia ada yang dikendalikan sepenuhnya oleh LPM masih dikekalkan. Perkara yang ditaksirkan adalah berkaitan dan memnuhi sukatan pelajaran yang ditetapkan. Prestasi murid dalam peperiksaan pusat akan dilaporkan dalam sijil yang dianugerahkan oleh LPM dengan mengambilkira prestasi murid dalam pentaksiran pusat dan pentaksiran sekolah.

4. Pentaksiran Aktiviti Jasmni dan kokurikulum

Pentaksiran Aktiviti Jasmani dan Kokurikulum adalah bertujuan bagi mengukur dan menilai prestasi, penglibatan dan penyertaan murid dalam pelbagai aktivit jasmani. Kokurikulum dan extra-curriculum. Instrumen dan panduan pentaksiran akan disediakan oleh LPM bersama organisasi yang berkenaan dengan bidang kepakaran mereka.

5. Ujian Psikometrik

Ujian psikometrik digunakan untuk mentaksir trait psikologi murid yang berhubungan dengan pembelajaran mereka. Instrumen ujian psikometrik, cara menganalisis dan mentafsir data akan dibina oleh LPM dan pentadbirannya dilaksanakan oleh sama ada LPM atau sekolah.

ISU DAN CABARAN

Namun, timbul persoalan samada masyarakat bersedia untuk menerima perubahan kerana selama ini peperiksaan merupakan indikator mudah untuk melihat kejayaan atau kegagalan murid. Murid selama ini diukur kebolehannya berdasarkan tahap inteleknya sahaja, namun dengan pelaksanaan SPPK, murid dinilai dari semua aspek potensi dirinya. Perubahan ini menuntut kepada penyusunan semula struktur kemasukan murid ke sekolah berasrama penuh, tajaan biasiswa, kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan lain-lain kemudahan pendidikan yang selama ini bergantung kepada bilangan ”A” yang dicapai murid.

Kecelaruan ini mengundang kepada persoalan pembentukan dan penetapan standard pelepasan yang perlu dicapai oleh murid melalui kurikulum kebangsaan dan sistem pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah.

TRANSFORMASI KURIKULUM KEBANGSAAN DAN SPPK – SATU KONSOLIDASI

Transformasi Kurikulum Kebangsaan dan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan merupakan dua strategi yang saling melengkapi ke arah merealisasikan agenda membangunkan modal melalui pendidikan. Kedua-dua strategi menekankan kepada pencapain standard yang ditetapkan; Transformasi Kurikulum melalui penetapan standard kandungan dan standard pencapaian manakala SPPK melalui Ujian Rujukan Standard. Pelaksanaan Transformasi

Kurikulum Kebangsaan dan SPPK akan memastikan prestasi murid dibitara dan setanding dengan standard antarabangsa dalam pelbagai bidang pengetahuan,

clip_image006

kemahiran dan kecekapan. Hal ini diperjelaskan maksudnya melalui Rajah 4 di atas.

 

RUMUSAN

Transformasi Kurikulum Persekolahan Kebangsaan dan Sistem Pentaksiran dan Penilaian Kebangsaan (SPPK) merupakan pelengkap kepada proses transformasi sistem pendidikan negara. Transformasi kurikulum persekolahan kebangsaan mengupayakan penstrukturan sistem persekolahan dalam bentuk semester. Di samping itu, kurikulumnya distruktur dalam bentuk modular yang dinamik sifatnya. Ini membolehkan kurikulum persekolahan menyerap sebarang bentuk pertambahan atau pengubahsuaian kandungan sesuai dengan keperluan semasa atau masa akan datang. Sistem Pentaksiran dan Penilaian Kebangsaan pula melengkapi usaha ini dengan menjadikan pengalaman persekolahan yang tidak berorientasikan peperiksaan. Malah, perkembangan potensi murid ditaksir secara lebih menyeluruh merangkumi domain jasmani, emosi, rohani dan inteleknya. Kaedah pentaksiran melalui pendekatan berasaskan sekolah juga mengurangkan tekanan kepada murid, guru dan penjaga serta ibu bapa. Ini secara langsung menyediakan iklim dan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan di kalangan murid. Kelangsungan daripada impak ini ialah sistem persekolahan mampu mengurangkan kecenderungan murid terlibat dengan gejala masalah disiplin dan jenayah. Pembangunan modal insan yang cemerlang intelek, sahsiah dan jati diri melalui Transformasi Kurikulum

Persekolahan Kebangsaan dan SPPK secara kolektif akan menyediakan sumber guna tenaga yang diperlukan dalam menempuh cabaran dan keperluan negara dalam memacu negara ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.

 

Disediakan oleh

Bahagian Pembangunan Kurikulum

2008

No comments:

Post a Comment