Tuesday, October 20, 2009

UCAPAN MENTERI PELAJARAN SEMPENA MAJLIS PELANCARAN JUBLI EMAS LEMBAGA PEPERIKSAAN MALAYSIA 3 MEI 2006

 

TEKS UCAPAN Y.B. DATO’ SRI  HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN MENTERI PELAJARAN MALAYSIA SEMPENA MAJLIS PELANCARAN JUBLI EMAS LEMBAGA PEPERIKSAAN MALAYSIA 3 MEI 2006

”MENJANA KECEMERLANGAN PENDIDIKAN MELALUI PENTAKSIRAN”

1. Alhamdulillah, marilah kita sama-sama mengucap syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnianya, kita dapat berhimpun bersama-sama bagi meraikan Majlis Sambutan Jubli Emas Lembaga Peperiksaan Malaysia. Semoga melalui majlis seperti ini, kita akan dapat saling kenal mengenali seterusnya membolehkan kita bekerjasama erat bagi menjayakan agenda pendidikan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

2. Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada setiap yang terlibat dan yang telah menyumbangkan begitu banyak idea, kepakaran dan pengalaman ke arah menambah baik lagi sistem pendidikan negara menerusi proses pentaksiran. Dengan pengalaman selama 50 tahun, saya percaya Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) boleh melaksanakan perubahan di dalam Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), bukan sahaja dalam bidang pentaksiran malah bertaindak sebagai agen perubahan untuk merombak keseluruhan sistem pendidikan negara, sesuai dengan tema sambutan jubli emas, iaitu Menjana Kecemerlangan Pendidikan Melalui Pentaksiran.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

3. Tidak lama lagi, kita akan melancarkan secara rasminya pelan tindakan atau blue-print Kementerian Pelajaran sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9). Pelan tindakan ini amat penting, kerana melalui pelan tindakan ini, kita akan menyediakan asas yang kukuh untuk reformasi pendidikan sepenuhnya menjelang tahun 2020. Sepanjang dua tahun yang lepas, kita telah merangka dasar, fokus dan hala tuju pembangunan pendidikan Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK9). Dalam perancangan kita ini, kita telah mengambil kira wawasan, matlamat, dasar dan perancangan negara. Melalui pelan tindakan yang telah kita rangka ini, kita berhasrat untuk mencapai tiga matlamat utama, iaitu;

• Pertama – membentuk ciri-ciri individu dan masyarakat bangsa Malaysia yang dicita-citakan di dalam negara maju Malaysia pada tahun 2020;

• Kedua – menyediakan akses, ekuiti dan pendidikan berkualiti untuk semua golongan agar pada tahun 2020 kelak, tiada mana-mana pihak yang tercicir dari arus kemajuan negara;

• Ketiga – terarah untuk memastikan pembangunan yang mampan agar kemajuan yang dicapai oleh negara dan bangsa dapat terus dipertahankan.

4. Segala yang hendak kita laksanakan selepas ini di dalam RMK9, termasuk melalui segala percubaan dan projek rintis, matlamatnya adalah untuk menyediakan asas-asas yang kukuh agar menjelang tahun 2020 kita dapat melaksanakan satu rombakan atau perubahan menyeluruh sistem pendidikan negara dengan penuh keyakinan. Ketika itu, sistem pendidikan negara mestilah berupaya untuk melahirkan masyarakat Bangsa Malaysia yang kita idam-idamkan, iaitu yang mempunyai keyakinan diri dan jati diri yang teguh, berpegang kepada nilai moral dan etika yang kukuh, hidup sebagai sebuah masyarakat yang penyayang, demokratik, liberal dan bertolak ansur, berfikiran dan berbudaya saintifik, mempunyai pengagihan ekonomi yang adil, progresif dan makmur, serta menguasai sepenuhnya ekonomi yang bersaing, dinamik, cergas dan kental.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

5. Saya sedar, hari ini sistem pendidikan negara kita telah berkembang dengan begitu pesat. Begitu banyak kejayaan yang telah kita capai hasil dari sumbangan pelbagai pihak, baik dari kalangan pemimpin, ahli politik, penjawat awam, pihak swasta, badan bukan kerajaan termasuk, anggota masyarakat termasuklah individu-individu yang begitu prihatin terhadap pendidikan anak bangsa. Sumbangan dan buah fikiran dari pelbagai pihak ini, sedikit sebanyak telah membantu mengangkat imej sistem pendidikan negara di mata dunia.

6. Walaupun terdapat sejumlah kejayaan yang kita capai, namun kita perlu mengakui hakikat bahawa masih terdapat kelemahan-kelemahan di kawasan-kawasan tertentu atau di dalam bidang-bidang tertentu di dalam sistem pendidikan negara hari ini. Kita wajar menerima hakikat bahawa biarpun dari segi dasar dan perancangan makro, segala-galanya nampak mencukupi dan memadai, namun di kawasan-kawasan tertentu atau di dalam bidang-bidang tertentu ini, terdapat tugas-tugas kita yang masih belum selesai dan belum dapat kita sempurnakan. Berkaitan hal ini, saya berpandangan, mungkin di kawasan tertentu dan di dalam bidang tertentu ini, kita tidak boleh lagi melaksanakan pelan tindakan kita berdasarkan perancangan yang dibuat secara makro. Sebaliknya kita perlu memberi perhatian yang lebih khusus terhadap kawasan dan bidang terbabit serta mengubah suai sedikit sebanyak strategi dan pelan tindakan yang hendak dilaksanakan.

7. Justeru dalam Pelan Tindakan RMK9 yang hendak kita umumkan tidak lama lagi, kita akan mengambil dua bentuk pendekatan dalam melaksanakan agenda pendidikan negara sepanjang tempoh lima tahun ini, iaitu;

i. Pertama: kita mahu menggerakkan komitmen untuk menyelesaikan tugas-tugas kita yang masih belum selesai walaupun tugas-tugas ini ada dilaksanakan di sepanjang rancangan-rancangan lima tahun sebelum ini, iaitu untuk memastikan akses dan menyama ratakan medan persaingan di kalangan pelajar. Menerusi pendekatan ini, Kementerian Pelajaran komited untuk meneruskan pertamanya, agenda untuk memperkasa Sekolah Kebangsaan dan keduanya, agenda untuk merapatkan jurang pendidikan di kalangan rakyat.

ii. Kedua: kita mahu menggerakkan komitmen untuk mengembangkan sepenuhnya potensi sekolah-sekolah di dalam kelompok-kelompok kecemerlangan sehingga sekolah-sekolah ini termasuk guru dan pelajarnya boleh mengangkat nama negara dan sistem pendidikan negara di mata dunia. Pendekatan kedua ini lahir di atas kesedaran bahawa terdapat sekolah-sekolah kita yang telah mencapai tahap cemerlang dan mungkin juga tahap terbilang, yang memerlukan perhatian khusus agar kecemerlangannya bukan sahaja dapat terus dipertahankan malah mampu diangkat ke suatu tahap yang lebih tinggi. Kita tidak mahu, jika kita sekadar memberi perhatian yang sama dengan ribuan sekolah-sekolah lain yang berprestasi sederhana, akhirnya sekolah-sekolah yang cemerlang ini terabai sehingga prestasinya turun ke tahap sederhana. Menerusi pendekatan kedua ini, kementerian akan mengenal pasti sekolah-sekolah di dalam kelompok-kelompok sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah-sekolah Perdana (Premier), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah-sekolah 100 tahun (cetennial), Sekolah rintis Bestari serta sekolah-sekolah dalam persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya, dan seterusnya memperkenalkan pelbagai program yang dapat membantu meningkatkan lagi kelebihan, kekuatan dan daya saing sekolah-sekolah di dalam kelompok-kelompok ini. Di kalangan kelompok ini juga, kita akan mengenal pasti sekolah-sekolah yang sudah bersedia untuk diberikan sedikit autonomi agar pengurusan sekolah dapat merangka sendiri pendekatan-pendekatan yang boleh menjadikan sekolah mereka lebih cemerlang.

8. Dua pendekatan ini sangat penting kerana kita sedar tidak semua pentadbir, guru dan sekolah yang bersedia untuk berdepan dengan sebarang rombakan atau perubahan yang hendak kita laksanakan dalam sistem pendidikan negara.

Ada sekolah-sekolah kita yang masih bergelut dengan soal infrastruktur asas dan ada ibu bapa murid yang masih belum jelas dengan soal-soal asas berkaitan pendidikan. Mungkin tidak adil untuk `memaksakan’ perubahan yang drastik terhadap pentadbir, guru, ibu bapa dan sekolah yang masih belum bersedia ini. Bagaimanapun kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa terdapat sekolah-sekolah kita yang sebenarnya telah lama bersedia. Mungkin di sekolah-sekolah ini, sedikit autonomi boleh diberikan kepada pentadbir dan gurunya agar mereka boleh melonjakkan pencapaian murid dan diri mereka sendiri ke suatu tahap yang lebih tinggi lagi.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

9. Kita harus bermula di suatu tempat. Benar, kita sekarang merangka perubahan dalam sistem pendidikan negara untuk kesemua 10,000 buah sekolah Kementerian Pelajaran, sekolah-sekolah swasta dan sekolah-sekolah agama negeri. Bagaimanapun idea ini masih perlu kita cuba, masih perlu kita rintis di sekolah-sekolah tertentu, iaitu sekolah-sekolah yang telah bersedia sebelum idea ini dapat kita perluaskan ke sekolah-sekolah lain.

10. Saya pernah menyebut bahawa kita akan berusaha untuk menjadikan sistem pendidikan kita tidak terlalu berorientasikan peperiksaan. Walaupun nampaknya seolah-olah kita sedang merangka perubahan untuk LPM, tetapi jika dilihat secara mendalam, bagi memastikan kejayaan hasrat ini, selain mengubah kaedah pentaksiran, kita juga perlu mengubah pendekatan kita dalam aspek penyediaan kurikulum dan huraian sukatan pelajaran, mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran, mengubah pendekatan latihan guru dan juga mengubah kaedah penaziran.

11. Dalam kata lain, bagi memastikan sistem pendidikan kita tidak terlalu berorientasikan peperiksaan, perubahan juga perlu berlaku dan perlu dilaksanakan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Bahagian Pendidikan Guru (BPG), Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) dan Jemaah Nazir Sekolah (JNS). Semua ini juga harus bergerak serentak bagi memastikan hasrat ini dapat direalisasikan.

12. Dalam tempoh dua tahun ini, kita telah memulakan anjakan ke arah sistem pendidikan yang kurang berorientasikan peperiksaan melalui dua langkah, iaitu

o pertama; menggunakan pendekatan baru dalam pelaporan keputusan semua peperiksaan awam dengan hanya melaporkan pencapaian setiap mata pelajaran dan prestasi cemerlang para calon selain menghebahkan kecemerlangan pelajar di dalam aktiviti kokurikulum. Melalui pendekatan ini kita berharap kita dapat mengubah perspektif para guru, ibu bapa, masyarakat dan pihak sekolah terhadap peperiksaan serta melihat perkembangan pelajar melalui perspektif lebih menyeluruh.

o kedua; menetapkan penglibatan pelajar dalam kokurikulum, melalui memorandum kepada Jemaah Menteri, sebagai salah satu merit bagi kemasukan pelajar ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Program Matrikulasi dan Maktab Perguruan.

13. Harapan saya, dalam RMK9, LPM dan bahagian-bahagian yang berkaitan akan dapat mencari kaedah untuk:

o mengurangkan bilangan mata pelajaran dalam peperiksaan awam dan hanya menguji mata pelajaran-mata pelajaran tertentu di peringkat sekolah

o melihat semula sistem penggal dan menggantikannya dengan sistem semester

o mengubah cara kita menilai pencapaian anak-anak kita di dalam pembelajaran sesuai dengan perkembangan dan kehendak dunia, dengan mengubah penekanan dalam peperiksaan awam daripada terlalu berasaskan kandungan (content based) kepada yang lebih berasaskan kemahiran (skill based) atau daripada yang bersifat ujian pencapaian (achievement test) kepada yang bersifat ujian kebolehan am (general ability test)

o mencari kaedah pentaksiran yang mampu menggalakkan pembinaan karakter dalam mata pelajaran seperti Pendidikan Seni dan Pendidikan Jasmani

o mengubah pendekatan pengajaran dan pembelajaran, misalnya dengan memperbanyakkan pendekatan pengurusan projek. Jika ini diperbanyakkan maka kaedah penilaian dan pentaksiran yang bersesuaian untuk menilai pencapaian pelajar juga perlu dirangka

14. Kita bukan hendak menghapuskan sama sekali peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Peperiksaan-peperiksaan itu masih diperlukan kerana kepentingan pendidikan dan sosialnya. Tetapi penekanannya yang berlebihan boleh menyebabkan sistem pendidikan kita dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan (exam-oriented) dan zaman persekolahan akan kehilangan nilai pendidikan serta nilai kemanusiaannya.

15. Kita sedar, sistem peperiksaan hari ni mempunyai keterbatasannya berbanding kaedah pentaksiran formatif. Peperiksaan hanya mampu memberi maklumat tentang pencapaian murid dalam pembelajaran setelah pengukuran dan penilaian dibuat ke atasnya, tetapi tidak menuntut pengendalinya menterjemahkan punca pencapaian murid dan sekolah turun atau naik. Pengendali peperiksaan juga tidak berkeupayaan mengenal pasti kelemahan dan masalah murid dalam pembelajaran serta tidak dapat membuat keputusan untuk melakukan pemulihan kerana murid berkenaan tidak bersama mereka.

16. Bagaimanapun kita juga sedar bahawa pentaksiran untuk pembelajaran amat sukar atau tidak mungkin dilaksanakan melalui sistem peperiksaan berpusat. Begitu juga, bukan mudah untuk mengurangkan bilangan mata pelajaran atau subjek dalam peperiksaan awam. Dalam peperiksaan SPM misalnya, terdapat sejumlah 104 mata pelajaran ditawarkan kepada calon. Jadual waktu peperiksaan SPM 2005 membenarkan calon mengambil sehingga 25 mata pelajaran, dan pada tahun 2005 ramai calon mengambil sebanyak 18 mata pelajaran. Jumlah itu sememangnya terlalu banyak untuk mana-mana peperiksaan awam.

17. Untuk mengurangkan bilangan mata pelajaran dalam peperiksaan awam atau untuk melaksanakan pentaksiran berasaskan sekolah, kita memerlukan guru-guru yang terlatih di sekolah-sekolah. Dengan pentaksiran berasaskan sekolah, semua bentuk pentaksiran yang lebih bersifat alternatif dan autentik seperti pentaksiran kerja kursus, projek, persembahan, aktiviti jasmani, ko-kurikulum, sahsiah, budi pekerti dan pembinaan jati diri murid boleh dilaksanakan. Bagaimanapun dalam hal ini, guru besar dan pengetua perlu diberi pengiktirafan dan sedikit autonomi untuk mengesahkan laporan yang dikeluarkan oleh sekolah.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

18. Saya percaya tugas ini bukan suatu tugas yang mudah. Disebabkan itu sempena ulang tahun ke-50 Lembaga Peperiksaan Malaysia, saya tidak akan memberikan sebarang hadiah, sebaliknya memberikan lebih banyak tugas kepada mereka. Melalui tugas-tugas ini, saya berharap LPM akan dapat meningkatkan lagi keupayaan mereka agar reformasi pendidikan dapat disegerakan. Sempena ulang tahun ke-50 LPM ini, saya mahu LPM mencari jalan untuk;

. menghantar pegawai-pegawainya untuk menimba pengetahuan serta pengalaman dengan badan-badan pentaksiran dan universiti di luar negara

• memberi perhatian kepada kaedah pentaksiran yang dapat menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di kalangan pelajar

• mengkaji dan memperkembangkan kaedah pentaksiran yang mampu menggalakkan perkembangan karekter

• menghasilkan standard prestasi kebangsaan yang boleh dijadikan kayu ukur berbanding standard negara-negara lain, dan

• meningkatkan jalinan kerjasama dengan badan-badan pentaksiran negara maju termasuk melalui program pertukaran pegawai, penyelidikan bersama, pengendalian peperiksaan dan pengeluaran sijil secara bersama.

Saya percaya bahawa banyak yang perlu dilakukan oleh LPM sepanjang tempoh lima tahun ini. Saya tidak mengharapkan agar arahan saya itu dapat dilihat hasilnya dalam tempoh singkat tetapi usaha ke arahnya perlu dimulakan serta merta.

19. Sekali lagi saya ucapkan tahniah dan syabas kepada semua warga LPM di atas ulang tahun ke-50, yang genap pada hari ini, 3 Mei 2006. Semoga LPM akan terus mempertingkatkan ilmu, kemahiran dan keprofesionalannya dalam menangani cabaran yang mendatang. Dengan harapan itu, dengan lafaz bismillah-ir rahman-ir rahim, saya dengan rasminya melancarkan Sambutan Jubli Emas Lembaga Peperiksaan Malaysia.

WabilLahi Taufiq wal Hidayah, Assalamualaikum wbt.

No comments:

Post a Comment