Thursday, October 29, 2009

MEMBANGUN MODAL INSAN

 

KONVENSYEN NASIONAL PIPP KEDUA (2008)
MEMBANGUN MODAL INSAN
Tn. Hj. Ali bin Ab. Ghani (A.M.N.)
Pengarah
Bahagian Perkembangan Kurikulum
Kementerian Pelajaran Malaysia

PENGENALAN
Pembangunan modal insan merupakan satu agenda penting negara bagi mengupayakan kapasiti negara ke arah mencapai status negara maju sejajar dengan Wawasan 2020. Sumber guna tenaga negara yang dihasratkan harus memiliki ciri-ciri unggul bagi menyediakan mereka dengan cabaran dunia menjelang 2020. Maka, pembangunan kapasiti sumber insan perlu dilaksanakan secara terancang dan berkesan bermula dari sekarang. Usaha ini telah diterapkan mula dalam sistem pendidikan negara melalui pengisian kandungan kurikulum dan aktiviti pembelajaran yang mengarah kepada pembangunan kapsiti jasmani, emosi, rohani dan intelek relevan dengan keperluan semasa dan masa akan datang. Sememangnya, pendidikan memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan kapasiti modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh, berketrampilan, berkeperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Melalui pendidikan, modal insan itu boleh disuntik nilai tambahnya, ditingkatkan nilai inteleknya serta diperkaya modal budayanya. Modal insan yang
ingin dihasilkan perlu mampu berfikir secara kritis dan kreatif, berkemahiran menyelesaikan masalah, berkeupayaan mencipta dan mempelopori teknologi baru, berdaya tahan serta berkebolehan untuk berhadapan dengan persekitaran dunia global yang bersifat dinamik. Strategi pembangunan kapasiti modal insan bertujuan memastikan anak bangsa Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan serta kepakaran yang tinggi bagi
penyediaan guna tenaga dalam pelbagai jenis pekerjaan. Di samping itu pelajarpelajar ini akan dilengkapi dengan kemahiran komunikasi berkesan, kebolehan mengunakan ICT dengan baik, berupaya berfikir secara kreatif dan kritis serta mampu bertindak secara rasional; mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat;
mempunyai nilai yang tinggi serta berupaya menjadi pemimpin berkesan dalam keluarga dan masyarakat.


ISU DAN CABARAN DALAM PENDIDIKAN

Namun, masih terdapat beberapa isu yang perlu dirungkai dan diselesaikan terutamanya yang melibatkan pembangunan sahsiah dan akhlak di kalangan golongan remaja termasuk pelajar sekolah – generasi yang akan memimpin negara menjelang 2020 nanti. Masih lagi terdapat pelajar bersikap suka ponteng sekolah, fenomena pelajar tercicir daripada sistem pendidikan, kejadian pelajar  menyalahgunakan bahan terlarang dan terlibat dalam jenayah. Kebanyakan masalah timbul kesan daripada pengaruh luar yang mudah diperolehi akibat kepesatan media elektronik dan cetak yang mudah didapati dan lebih menarik perhatian golongan remaja ini. Ramai pelajar tidak lagi menganggap pengalaman bersekolah sebagai satu pengalaman yang penting, berharga dan menyeronokkan malah mula menganggap ianya sebagai satu tanggungjawab yang membebankan dan memberi banyak tekanan. Bagi menangani isu ini, satu bentuk pembaharuan kepada sistem pendidikan negara perlu segera dirangka dan dilaksanakan dengan berkesan. Maka, atas kesedaran inilah, PIPP Teras 2: Membangunkan Modal Insan telah
menggariskan pelan tindakan bagi merangka strategi pembaharuan kepada struktur kurikulum pendidikan kebangsaan dan juga kepada sistem pentaksiran kebangsaan. Fokus 2: Meningkatkan Keupayaan dan Penguasaan Ilmu Pengetahuan dan Fokus 4: Memantapkan Sistem Pentaksiran dan Penilaian Supaya Lebih Holistik menggariskan beberapa strategi yang perlu dilaksanakan bagi memantap dan memperkukuhkan pelaksanaan sistem pendidikan negara. Kedua-dua fokus ini menuntut supaya KPM melihat semula kesesuaian pengisian dan struktur kurikulum dan merangka bentuk perubahan kepada kurikulum kebangsaan untuk disesuaikan dengan keperluan semasa dan masa akan datang. Strategi ini dilengkapkan pula dengan usaha untuk menjadi persekolahan lebih menyeronokkan dan tidak berorientasikan peperiksaan melalui satu bentuk transformasi kepada struktur pentaksiran pendidikan kebangsaan.


TRANSFORMASI KURIKULUM KEBANGSAAN

Kurikulum merupakan suatu elemen terpenting dalam sistem pendidikan. Ia merupakan nadi kepada sistem pendidikan yang mencorakkan generasi akan datang. Bagi menjana suatu sistem pendidikan yang berkualiti, kurikulum itu sendiri perlu bersifat dinamik dan relevan dengan kehendak semasa mahupun keperluan masa akan datang. Kurikulum di Malaysia ditakrifkan sebagai suatu program pendidikan yang merangkumi semua pengetahuan, kemahiran, dan nilai-nilai kebudayaan serta kepercayaan untuk membantu perkembangan potensi seseorang murid secara seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Pernyataaan kurikulum ini perlulah diterjemahkan melalui pelaksanaan aktiviti kurikulum dan kokurikulum di sekolah dan melalui proses pengajaran dan pembelajaran serta interaksi guru-murid di bilik darjah. Perlu ditegaskan bahawa kurikulum bukannya satu entiti yang konstan tetapi berubah mengikut senario dan keperluan ekonomi, sosial dan politik tanah air.


TRANSFORMASI KURIKULUM
Kajian keberkesanan KBSR dan KBSM yang dijalankan oleh agensi dalam Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) banyak menunjukkan kelemahan dari aspek pelaksanaan kurikulum tersebut di sekolah. Beberapa prinsip KBSR dan KBSM tidak dilaksanakan dengan berkesan dalam proses P&P. Ini mengakibatkan kesepaduan pengetahuan, kemahiran dan nilai tidak tercapai sepenuhnya melalui proses P&P di bilik darjah. Antara faktor yang mendorong kepada perkara ini ialah fokus berlebihan untuk mencapai gred kelulusan A dalam peperiksaan. Maka kebanyakan proses P&P yang berlaku di bilik darjah lebih berupa proses menyediakan pelajar untuk peperiksaan, bukannya bersifat menyampaikan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai yang perlu seperti mana dituntut oleh kurikulum mata pelajaran tersebut. Ini secara langsung mengurangkan keberkesanan usaha ke arah membangunkan insan yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berdaya saing, berkemahiran dan  mempunyai jati diri – ciri modal insan cemerlang yang dihasratkan. Ke arah itu, satu bentuk pengubahsuaian sedang dijalankan bagi mengatasi masalah ini. Dari aspek kurikulum sekolah, Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) sedang berusaha membangunkan satu bentuk kurikulum baru yang lebih berpusatkan murid, lebih memberikan peluang kepada murid untuk meneroka bidang ilmu tersebut dengan lebih mendalam, dan kurikulum yang menyeronokkan dan tidak berorientasikan peperiksaan. Berdasarkan keperluan ini, BPK membangunkan konsep Transformasi Kurikulum Kebangsaan yang membawa cadangan perubahan kepada konsep, bentuk, struktur dan operasi kurikulum persekolahan kebangsaan. Struktur kurikulum baru KBSR memperkenalkan konsep tunjang – satu bentuk pengklasifikasian bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang berfokus kepada pembentukan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan inteleknya. Enam tunjang dikenalpasti mewakili bidang ilmu, kemahiran dan nilai yang menjadi asas kepada pembangunan insan yang dihasratkan seperti yang ditunjukkan dalam rajah di bawah.

BIDANG-BIDANG PEMBELAJARAN
Transformasi Kurikulum Kebangsaan bagi sekolah rendah mengkategorikan disiplin ilmu ini dalam enam tunjang. Setiap tunjang ini mempunyai penegasan dan fokus tersendiri. Fokus dalam setiap tunjang turut mempengaruhi kategori bidang ilmu yang relevan dengan keperluan tunjang-tunjang tersebut.

TUNJANG KOMUNIKASI
Tunjang komunikasi memberi penekanan kepada proses menggabungjalinkan kemahiran berbahasa semasa berinteraksi. Interaksi ini boleh berlaku dalam bentuk verbal dan juga non-verbal dalam bahasa pengantara yang digunakan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di bilik darjah. Melalui tunjang komunikasi, murid didedahkan dengan kemahiran berbahasa seperti mendengar, bertutur, membaca dan menulis selain nilai tambah kemahiran menaakul. Murid dituntut menguasai kemahiran-kemahiran di bawah bidang pembelajaran dalam tunjang komunikasi kerana ia memberi kesan kepada proses pemerolehan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam tunjangtunjang yang lain.

TUNJANG KEROHANIAN, SIKAP DAN NILAI
Aspek kerohanian, sikap dan nilai perlu dibangunkan dengan berkesan supaya insan yang dihasilkan melalui sistem pendidikan negara memahami, menghayati dan seterusnya mengamal nilai dan norma kemasyarakatan yang mencerminkan keperibadian yang menepati identiti Malaysia. Tunjang Kerohanian, Sikap dan
Nilai memberi penekanan kepada bidang pembelajaran yang fokus kepada pengamalan ilmu agama dan kepercayaan, sikap & nilai. Maka, bidang ilmu yang relevan dengan perkara tersebut seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral menjadi teras kepada tunjang Kerohanian, Sikap dan Nilai.

TUNJANG KEMANUSIAAN
Pendidikan di Malaysia bertanggungjawab menyediakan individu yang bukan hanya memahami, malah menghayati dan mengamalkan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai berkaitan kemasyarakatan & alam sekitar setempat, negara & global. Kesedaran tentang perkara ini akan mendorong kepada pengupayaan konsep pembangunan berterusan (sustainable development) dan pembangunan sumber tenaga berterusan (sustainable and renewal energy) Tunjang Kemanusian juga memberi penekanan kepada penghayatan semangat patriotisme & perpaduan. Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan agama, agenda perpaduan perlu dijadikan agenda utama yang menjadi teras kepada usaha pembangunan negara. Selain itu, semangat patriotisme perlu ditanam dalam diri individu bermula dari peringkat awal persekolahan lagi. Ke arah itu, Tunjang Kemanusiaan memberi ruang untuk perkembangan dan pembangunan ilmu, kemahiran dan nilai yang ada perkaitannya dengan bidang ilmu Sains Sosial seperti Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, Sejarah, Geografi dan unsur-unsur Pendidikan Alam Sekitar.

TUNJANG KETRAMPILAN DIRI
Antara agenda pembangunan modal insan ialah pembentukan individu yang mempunyai keperibadian berketrampilan (Towering Personality). Individu tersebut mempamerkan ciri-ciri seperti mempunyai jati diri yang kukuh, berdaya saing, berilmu pengetahuan, berintegriti, patriotik, rasional dalam tindakan dan
mengamalkan nilai murni dalam kehidupan hariannya. Ciri-ciri ini tidak mampu dijelmakan dan dinilai melalui pentaksiran bertulis. Namun, pengamalan dan penghayatan nilai dan ciri tersebut mampu ditonjolkan melalui penglibatan dalam aktiviti (kurikulum) dan kegiatan kokurikulum yang dilaksanakan di peringkat sekolah, daerah mahupun kebangsaan. Tunjang Ketrampilan Diri memberi tumpuan kepada pemupukan kepimpinan dan sahsiah diri melalui aktiviti kokurikulum. Penglibatan dalam aktiviti sedemikian memberi ruang dan peluang kepada individu murid untuk menyepadukan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dipelajari di bilik darjah dan mengamalkannya dalam penglibatan dalam kegiatan kokurikulum di luar sekolah. Penglibatan dalam kegiatan kokurikulum memberi peluang kepada murid memperkembangkan potensi diri sebagai pemimpin kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.


TUNJANG FIZIKAL DAN ESTETIKA
Insan seimbang seperti yang dihasratkan melalui Falsafah Pendidikan kebangsaan perlulah seimbang dari segi jasmani, rohani, emosi dan inteleknya. Kesihatan jasmani murid menjamin pembangunan potensi murid dalam domain yang lain. Perkembangan jasmani dan kesihatan murid harus selari dengan
keperluan fizikal dan peringkat umur dan tahap kematangan murid. Bidang pembelajaran yang berkaitan ilmu pendidikan jasmani dan kesihatan merupakan teras ilmu dalam menterjemahkan hasrat Tunjang Fizikal. Selain aspek fizikal, potensi estetika murid juga perlu diberi penekanan. Potensi estetika merujuk kepada pemupukan kreativiti, bakat dan apresiasi yang dapat digunakan dalam melahirkan ekspresi diri. Kreativiti, bakat dan apresiasi dapat dipupuk melalui amalan dan latihan dalam bidang ilmu kesenian terutamanya pendidikan seni visual da muzik.

TUNJANG LITERASI SAINS DAN TEKNOLOGI
Cabaran abad ke-21 menuntut supaya modal insan yang dibangunkan perlu dilengkapi dengan ilmu, kemahiran dan nilai berteraskan sains dan teknologi. Di peringkat asas, murid perlu menguasai pengetahuan, kemahiran dan sikap aintifik berkaitan numerasi, proses sains, kemahiran menganalisis di samping kemahiran ICT. Murid perlu memahami konsep nombor dan kemahiran asas mengira. Penguasaan kedua-dua aspek ini dapat membantu murid mengendalikan urusan harian secara berkesan dan penuh tanggungjawab. Pengetahuan dan kemahiran asas sains menjadikan murid celik sains dan menyediakan mereka dengan peluang untuk menguasai kemahiran proses sains melalui kegiatan penyiasatan saintifik yang boleh diaplikasikan dalam pelbagai situasi dan pengalaman seharian murid. Ledakan maklumat, globalisasi dan konsep dunia tanpa sempadan menuntut murid disediakan dengan literasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi supaya kekal relevan dengan keperluan semasa dan masa akan datang. Capaian maklumat melalui kemudahan jalur lebar atau infrastuktur internet tanpa wayar semakin menjadi kebiasaan dalam kehidupan seharian. Kemudahan ini perlu digunakan secara berkesan dan optimum supaya manfaat kemudahan transaksi maklumat (transfer of information) ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua.

KURIKULUM BERBENTUK MODULAR
Transformasi Kurikulum Sekolah Rendah Tahap 1 mencadangkan penggunaan modul bagi menggantikan mata pelajaran sebagai medium penyampaian pengetahuan, kemahiran dan nilai. Modul-modul ini terbahagi kepada 2 kategori:

a. Modul Asas
Terdiri daripada 4 komponen iaitu Bahasa, Matematik, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan serta Pendikan Agama/Moral. Komponen bahasa merujuk kepada Bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa pengantar bagi Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina/Tamil.

b. Modul Tema
Berasaskan tema-tema yang dipersetujui dan merangkumi bidang-bidang pembelajaran dalam mata pelajaran lain seperi ICT, Sains, Kemahiran Hidup, Kajian Tempatan dan Alam Sekitar. 

PENGOPERASIAN
Kurikulum Modular Berasaskan Standard
Untuk merealisasikan matlamat pendidikan seperti yang dinyatakan di atas, kurikulum prasekolah, rendah dan menengah diorganisasikan secara modular berasaskan standard.

Kurikulum Berasaskan Standard
Kurikulum transformasi digubal dalam bentuk pernyataan standard iaitu pernyataan yang menetapkan kompetensi tertentu yang murid perlu kuasai pada suatu tempoh dan tahap persekolahan. Kompetensi ini diterjemahkan ke dalam aktiviti yang boleh diukur dan diuji. Standard kurikulum disediakan berasaskan matlamat pendidikan dan dibina ke arah menggalakkan pembelajaran berasaskan sekolah. Matlamat pendidikan dinyatakan dalam istilah-istilah konkrit berbentuk competency requirements iaitu menetapkan kompetensi yang murid mesti ada sebagai syarat objektif pembelajaran telah tercapai. Kurikulum menetapkan standard yang mana sekolah dan guru dapat menilai pencapaian dan kejayaan mereka. Dua standard yang perlu dicapai oleh murid ialah standard kandungan dan standard pembelajaran. Standard kandungan dan standard pembelajaran disediakan bagi setiap tahap. Standard Kandungan mengandungi pernyataan spesifik tentang apa yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Standard Pembelajaran pula merupakan satu penetapan kriteria untuk memastikan kualiti pembelajaran dan pencapaian bagi setiap standard kandungan.

Pendekatan Modular
Standard kandungan dan standard pembelajaran diorganisasikan dalam bentuk bahagian dan unit yang mengandungi elemen pengetahuan, kemahiran dan nilai yang telah dikenal pasti perlu dikuasai oleh murid. Kandungan kurikulum yang disampaikan dalam bentuk bahagian atau unit ini membolehkan pembelajaran
dilakukan mengikut konteks serta keupayaan pelajar dan boleh diubah tanpa menjejaskan keseluruhan kandungan kurikulum. Kandungan kurikulum yang diorganisasikan secara modular ini disampaikan menggunakan modul-modul tertentu. Bagi prasekolah kandungan kurikulum diorganisasikan dalam 2 modul utama iaitu Modul Teras Asas dan Modul Teras Tema.

Modul Teras Asas
Modul Teras Asas merangkumi bidang pembelajaran asas yang terdiri daripada modul-modul berikut:

1. Modul Bahasa yang merangkumi bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan bahasa Tamil bagi SJKC/SJKT yang memberi fokus kepada kemahiran berbahasa. Modul ini juga mengandungi pengisian dari bidang ilmu lain yang digunakan sebagai konteks untuk mengajar bahasa.
2. Modul Matematik yang memberi fokus kepada asas aritmetik.
3. Modul Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan yang mengembangkan aspek fizikal dan kesihatan untuk kesejahteraan diri dan orang lain.
4. Modul Pendidikan Islam untuk penghayatan amalan agama dan
pemupukan nilai murni.
5. Modul Pendidikan Moral untuk pemupukan sikap dan nilai masyarakat Malaysia.

Modul Teras Tema
Modul Teras Tema merangkumi bidang pembelajaran kreativiti, sains dan teknologi serta kemanusiaan yang disepadukan secara bertema. Modul bertema mengurangkan rujukan dan fokus kepada disiplin mata pelajaran tertentu.

Modul Teras Tema menyesuaikan tema-tema dengan kandungan disiplin ilmu tertentu supaya murid didedahkan dengan pelbagai gabungan disiplin ilmu di dalam satu modul.

Modul Kreativiti bertujuan mengembangkan kreativiti murid melalui aktiviti kesenian dalam pendidikan Seni Visual selain membentuk apresiasi seni dan ekspresi diri. Bidang pembelajaran berkaitan sains dan teknologi mendedahkan murid dengan perkara asas sains dan bagaimana teknologi mengupayakan pemerolehan ilmu melalui penggunaan komputer disamping menerapkan proses berfikir secara saintifik.

Bagi menghasilkan murid yang seimbang, aspek pembangunan kemanusiaan dimulakan sejak awal lagi melalui modul Kemanusiaan. Dalam modul ini aktiviti pembelajaran diorganisasikan berasaskan bidang pembelajaran sejarah, geografi dan pendidikan sivik dan kewarganegaraan. Untuk melaksanakan modul ini dengan berkesan, pelbagai pendekatan
pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan ditekankan.

Modul Elektif
Modul Elektif memberi fokus kepada kemahiran berbahasa dalam bahasabahasa tambahan seperti bahasa Cina, bahasa Tamil, bahasa Arab dan bahasabahasa lain di sekolah kebangsaan. Modul ini ditawarkan sebagai menggalakkan murid menguasai lebih daripada dua bahasa apabila mereka tamat persekolahan.

Bagi Tahap II, kandungan kurikulum diorganisasikan ke dalam lima modul berasaskan enam tunjang kurikulum iaitu modul komunikasi; modul sains dan teknologi; modul fizikal dan estetika; modul kerohanian, sikap dan nilai; dan modul kemanusiaan.

Kelima-lima modul ini merangkumi disiplin ilmu yang relevan seperti dalam di bawah. Bagi tunjang keterampilan diri, aspek pembangunan keterampilan dilaksanakan melalui semua aktiviti p&p yang dijalankan.

TUNJANG DISIPLIN ILMU
Komunikasi
Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Bahasa Etnik

Literasi Sains & Teknologi

Sains, Matematik, Teknologi/ICT, ‘Kemahiran
Hidup’


Fizikal & Estetika

Pendidikan jasmani & kesihatan, Pendidikan
kesenian (seni visual, muzik)


Kerohanian, Sikap & Nilai

Pendidikan Islam, Pendidikan moral


Kemanusiaan

Gabungan disiplin ilmu sejarah, geografi dan
pendidikan sivik dan kewarganegaraan


PEDAGOGI
Pendekatan pengajaran
Kurikulum prasekolah dan sekolah rendah terus menegaskan aspek integrasi sebagai strategi pelaksanaan kurikulum di mana kandungan dan kemahiran dari pelbagai disiplin diintegrasikan.

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran bagi kurikulum prasekolah dan sekolah rendah kebangsaan yang baru merupakan kesinambungan kaedah yang ditegaskan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah dahulu. Pendekatan yang dimaksudkan melibatakan perkara-perkara seperti berikut:

i. Kemahiran Berfikir secara Kritis dan Kreatif (KBKK)
ii. Pendidikan Luar Bilik Darjah (PLBD)
iii. Mastery Learning
iv. Berpusatkan Murid
v. Project Based- Learning
vi. Problem-Based Learning
vii. Inkuiri
viii. Multiple Intelligences
ix. Kontekstualisme
x. Konstruktivisme
xi. Learning How To Learn

Bahan sokongan
Dokumen standard kurikulum yang mengandungi standard kandungan dan standard pembelajaran akan disediakan. Pelbagai bahan sokongan diperlukan untuk membantu guru melaksanakan kurikulum secara efektif. Bahan sokongan seperti buku teks, bahan multimedia, buku panduan guru dan buku aktiviti bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dijalankan seperti yang dihasratkan.

Guru
Transformasi kurikulum menuntut guru multispecialist. Guru perlu mantap dalam penguasaan pengetahuan kandungan pedagogi. Guru perlu kreatif dan inovatif dalam merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Justeru, guru perlu diberi latihan yang selaras dengan hasrat dan keperluan kurikulum

Transformasi kurikulum kebangsaan akan mengubah persekitaran dan norma pendidikan berlaku di dalam dan luar bilik darjah. Peranan guru semakin ditekankan dalam pembentukan individu yang holistik sifatnya dan mencapai aspirasi dan hasrat pendidikan negara. Transformasi kurikulum menjadikan kurikulum kurang bersifat preskriptif tetapi menuntut kreativiti dan inovasi guru dalam menentukan bentuk dan kandungan pendidikan yang ingin disampaikan. Ke arah itu, guru perlu didedahkan dengan Pedagogical Content Knowledge (PCK) yang terkini dan relevan dengan skop bidang mereka. Pengetahuan PCK
ini berupaya membantu guru dalam proses P&P di bilik darjah. Maka, satu usaha perlu dirangka bagi memberi latihan yang sesuai dengan tuntutan peranan guru.

SISTEM PENTAKSIRAN PENDIDIKAN KEBANGSAAN (SPPK)
KBSR dan KBSM menuntut pembangunan menyeluruh potensi murid dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Namun, penekanan kepada peperiksaan menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menjurus kepada menyediakan murid untuk boleh menjawab soalan peperiksaan sahaja. Malah, sistem pentaksiran murid sedia ada juga lebih mengarah kepada pentaksiran aspek intelek sahaja tanpa memberi banyak tumpuan kepada penilaian pertumbuhan dan perkembangan potensi-potensi lain. Ke arah itu, pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia telah mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan amalan sistem pentaksiran yang dilaksanakan dalam sistem pendidikan di Malaysia.

Beberapa usaha penambahbaikan sedang dan telah dilakukan bagi memperbaiki kelemahan sedia ada. Antaranya ialah pelaksanaan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) yang dilihat mampu memberikan satu bentuk pentaksiran menyeluruh potensi murid dengan penekanan yang hampir sama bagi aspek potensi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Ini dilaksanakan melalui penggabungan hasil pentaksiran berasaskan sekolah (pentaksiran sekolah) dengan pentaksiran dan peperiksaan pusat. Strategi ini turut ditambah melalui pengenalan secara meluas penggunaan ujian psikometrik dalam pengumpulan
data dan maklumat tentang perkembangan dan pertumbuhan murid. Selain itu, konsep pentaksiran murid diperluaskan juga skopnya bagi merangkumi aspek penglibatan murid dalam kegiatan kokurikulum dan aspek lain berkaitan domain keinsanan dan sahsiah murid. Maka, ini menuntut pengupayaan sekolah dan
guru dalam melaksanakan proses pentaksiran pendidikan murid mereka sendiri di sekolah.

Profil
(Ujian Psikomentrik)
Penglibatan
(PAJK)
Perkembangan & Pencapaian
(Pentaksiran Sekolah, Pentaksiran Pusat,
Peperiksaan Pusat


KONSEP SPPK
Pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia(LPM) mengetengahkan konsep PADI – akronim untuk Profile, Achievement, Development dan Involvement dalam membangunkan SPPK. Berdasarkan konsep ”PADI” ini, dimensi pertama yang perlu diberi perhatian dalam proses pentaksiran murid ialah membentuk profil psikometrik murid tersebut. Ini merangkumi data berkenaan kecenderongan, aptitud dan minat murid. Dimensi kedua pula menyentuh aspek Achievement atau pencapaian dan Development atau perkembangan murid manakala dimensi ketiga memberi penegasana kepada aspek Involvement atau penglibatan murid melalui aktiviti jasmani dan kokurikulum. Jelas, konsep ini mengutamakan pentaksiran perkembangan individu murid secara menyeluruh. Model pemantauan pertumbuhan individu murid dapat dijelmakan melalui Rajah 2 seperti di bawah:


LIMA SERANGKAI
Sistem Pentaksiran Persekolahan Kebangsaan mencadangkan lima bentuk pentaksiran untuk melaksanakan konsep PADI yang dinyatakan. Lima bentuk pentaksiran ini boleh digambarkan  seperti di bawah:

1. Pentaksiran sekolah
Pentaksiran sekolah merupakan pentaksiran yang dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa dan dilaporkan oleh guru di sekolah yang melibatkan murid, ibu bapa dan organisasi luar. Pentaksiran sekolah boleh dilaksanakan dalam bentuk pentaksiran formatif yang dilaksanakan seiring dengan proses pengajaran dan pembelajaran atau pentaksiran sumatif di akhir tahun.

2. Pentaksiran Pusat
Pentaksiran pusat merupakan suatu pentaksiran yang mempunyai piawai (standard prestasi), panduan dan peraturan, instrumen pentaksiran dan kaedah menganalisis data yang disediakan oleh agensi pusat (LPM). Pihak sekolah bertanggungjawab mentadbir, memeriksa respons murid dan menyediakan pelaporan. Pentaksiran ini dilaksanakan secara pentaksiran sumatif berdasarkan jadual ang ditetapkan oleh LPM. Markah yang diperolehi akan dihantar ke LPM untuk dianalisis dan dimederatkan sebelum ianya dihantar semula ke sekolah untuk pelaporan penguasaan sekolah.

3. Peperiksaan Pusat
Konsep pelaksanaan peperiksaan seperti sistem sedia ada yang dikendalikan sepenuhnya oleh LPM masih dikekalkan. Perkara yang ditaksirkan adalah berkaitan dan memnuhi sukatan pelajaran yang ditetapkan. Prestasi murid dalam peperiksaan pusat akan dilaporkan dalam sijil yang dianugerahkan oleh LPM
dengan mengambilkira prestasi murid dalam pentaksiran pusat dan pentaksiran sekolah.

4. Pentaksiran Aktiviti Jasmni dan kokurikulum
Pentaksiran Aktiviti Jasmani dan Kokurikulum adalah bertujuan bagi mengukur dan menilai prestasi, penglibatan dan penyertaan murid dalam pelbagai aktivit jasmani. Kokurikulum dan extra-curriculum. Instrumen dan panduan pentaksiran akan disediakan oleh LPM bersama organisasi yang berkenaan dengan bidang kepakaran mereka.

5. Ujian Psikometrik
Ujian psikometrik digunakan untuk mentaksir trait psikologi murid yang berhubungan dengan pembelajaran mereka. Instrumen ujian psikometrik, cara menganalisis dan mentafsir data akan dibina oleh LPM dan pentadbirannya dilaksanakan oleh sama ada LPM atau sekolah.

ISU DAN CABARAN
Namun, timbul persoalan samada masyarakat bersedia untuk menerima perubahan kerana selama ini peperiksaan merupakan indikator mudah untuk melihat kejayaan atau kegagalan murid. Murid selama ini diukur kebolehannya berdasarkan tahap inteleknya sahaja, namun dengan pelaksanaan SPPK, murid dinilai dari semua aspek potensi dirinya. Perubahan ini menuntut kepada penyusunan semula struktur kemasukan murid ke sekolah berasrama penuh, tajaan biasiswa, kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan lain-lain kemudahan pendidikan yang selama ini bergantung kepada bilangan ”A” yang dicapai murid. kecelaruan ini mengundang kepada persoalan pembentukan dan penetapan standard pelepasan yang perlu dicapai oleh murid melalui kurikulum kebangsaan dan sistem pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah.

TRANSFORMASI KURIKULUM KEBANGSAAN DAN SPPK – SATU
KONSOLIDASI
Transformasi Kurikulum Kebangsaan dan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan merupakan dua strategi yang saling melengkapi ke arah merealisasikan agenda membangunkan modal melalui pendidikan. Kedua-dua strategi menekankan kepada pencapain standard yang ditetapkan; Transformasi Kurikulum melalui penetapan standard kandungan dan standard pencapaian
manakala SPPK melalui Ujian Rujukan Standard. Pelaksanaan Transformasi Kurikulum Kebangsaan dan SPPK akan memastikan prestasi murid dibitara dan setanding dengan standard antarabangsa dalam pelbagai bidang pengetahuan, kemahiran dan kecekapan. Hal ini diperjelaskan maksudnya melalui Rajah 4 di
atas.

RUMUSAN
Transformasi Kurikulum Persekolahan Kebangsaan dan Sistem Pentaksiran dan Penilaian Kebangsaan (SPPK) merupakan pelengkap kepada proses transformasi sistem pendidikan negara. Transformasi kurikulum persekolahan kebangsaan mengupayakan penstrukturan sistem persekolahan dalam bentuk
semester. Di samping itu, kurikulumnya distruktur dalam bentuk modular yang dinamik sifatnya. Ini membolehkan kurikulum persekolahan menyerap sebarang bentuk pertambahan atau pengubahsuaian kandungan sesuai dengan keperluan semasa atau masa akan datang. Sistem Pentaksiran dan Penilaian Kebangsaan
pula melengkapi usaha ini dengan menjadikan pengalaman persekolahan yang tidak berorientasikan peperiksaan. Malah, perkembangan potensi murid ditaksir secara lebih menyeluruh merangkumi domain jasmani, emosi, rohani dan inteleknya. Kaedah pentaksiran melalui pendekatan berasaskan sekolah juga mengurangkan tekanan kepada murid, guru dan penjaga serta ibu bapa. Ini secara langsung menyediakan iklim dan pengalaman pembelajaran yang mneyeronokkan di kalangan murid. Kelangsungan daripada impak ini ialah sistem persekolahan mampu mengurangkan kecenderungan murid terlibat dengan gejala masalah disiplin dan jenayah. Pembangunan modal insan yang cemerlang intelek, sahsiah dan jati diri melalui Transformasi Kurikulum Persekolahan Kebangsaan dan SPPK secara kolektif akan menyediakan sumber guna tenaga yang diperlukan dalam menempuh cabaran dan keperluan negara dalam memacu negara ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.


Disediakan oleh
Bahagian Pembangunan Kurikulum
2008

No comments:

Post a Comment